Klik Dengan Bijak “Langkah mudah membendung berita palsu”
5 Mei 2021 | Aktiviti TerkiniPada zaman era digital ini, boleh dikatakan hampir semua info dan maklumat amat mudah diakses dan didapati dengan hanya di hujung jari. Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah mengenai kesahihan sesuatu maklumat yang diterima sama ada perkara tersebut benar atau sebaliknya. Hal ini membuatkan setiap pengguna internet perlu sentiasa berwaspada dan bijak menilai apabila menerima sesuatu berita sebelum mempercayainya dan melakukan sebarang perkongsian.
Sehubungan dengan itu, terdapat pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan kerjasama daripada agensi berkaitan untuk membudayakan tingkah laku serta tanggungjawab yang positif bagi penggunaan internet dalam kehidupan seharian. Selain kempen kesedaran “Kebebasan Bersuara Bukan Kebebasan Berbohong” yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak kerajaan juga turut mewujudkan laman portal Sebenarnya.my bagi memudahkan orang ramai untuk mengenal pasti dan menyemak kesahihan sesuatu berita yang ditularkan di internet sama ada palsu atau benar. Langkah sedemikian sedikit sebanyak dapat membantu dalam menilai dan membezakan maklumat yang diterima di internet atau laman sosial dengan mempertingkatkan perkongsian berita sahih yang mana bertujuan untuk memberi kesedaran terhadap orang awam lalu mampu menghentikan penularan berita palsu.
Berikut merupakan langkah mudah bagi membendung berita palsu :
- Sentiasa periksa kesahihan maklumat lebih dari sekali
- Sentiasa berfikir dan bertanggungjawab terhadap sebarang berita yang dikongsi
- Tidak berkongsi sebarang berita yang tidak pasti atau diragui
- Periksa dahulu sebelum sebar kerana bukan semua berita di internet adalah benar
- Semak kebenaran sesuatu berita yang ingin dikongsi di laman portal Sebenarnya.my
- Dapatkan maklumat tepat dan sahih di saluran rasmi Telegram Sebenarnya.my
- Rujuk fakta dengan bertanya kepada orang yang lebih layak seperti pihak berkuasa
- Pastikan sumber maklumat daripada pihak yang benar
- Siasat latar belakang penulis atau penyebar maklumat tersebut
- Tidak mereka-reka berita palsu dan menyebarkannya
Konklusinya, penyalahgunaan media sosial boleh ditangani jika pengguna sedar mengenai peranan masing-masing dan tekad melakukan perubahan. Jadilah pengguna media sosial yang bijak dan prihatin dalam mengekang penyebaran berita palsu “Tidak Pasti, Jangan Kongsi”
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: